comscore
Tumpuan :
Nasional

Keluarga dua pelancong China maut ditimpa pokok, konkrit terima sumbangan RM10,000

Keluarga dua mangsa yang maut akibat tersepit di dalam sebuah kenderaan yang dihempap sebatang pokok tumbang bersama runtuhan konkrit pada 18 September lalu, menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjong. Penyerahan dilakukan Adun Komtar Teh Lai Heng (dua dari kanan kanan). FOTO: Ihsan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjong

GEORGETOWN: Keluarga dua mangsa yang maut akibat tersepit di dalam sebuah kenderaan yang dihempap sebatang pokok tumbang bersama runtuhan konkrit pada 18 September lalu, menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjong.

Ahli Parlimen terbabit, Lim Hui Ying berkata, pemberian sebanyak RM5,000 seorang itu diberi sebagai sumbangan takziah kepada keluarga dua beranak dari China berkenaan.

“Insiden terbabit meragut nyawa dua warga China, iaitu Liu Zhu dan anak perempuannya, Liu Xinxin.

“Diharap dengan sumbangan ini dapat memberi sedikit bantuan dan sokongan kepada keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan dua pelancong warganegara China maut akibat tersepit di dalam sebuah kenderaan yang dihempap sebatang pokok tumbang bersama runtuhan konkrit dalam kejadian di Lebuh Gereja,di sini.

Dalam kejadian jam 2.19 minit petang itu,bapa dan anak yang masing-masing berusia 50-an dan 30-an itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, anak lelaki Liu Zhu dan suami Liu Xinxin datang ke Pulau Pinang bagi menguruskan hal berkaitan selepas insiden itu.

Berikutan Hui Ying berada di luar negara atas urusan rasmi, penyerahan sumbangan itu diserah oleh Adun Komtar, Teh Lai Heng sebagai wakil selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

FOTO: Ihsan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjong

“Pusat khidmat di sini bersedia bagi memberi sokongan yang wajar dalam membantu mereka melalui tempoh sukar ini.

“Saya sudah hubungi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas kejadian dan meminta supaya pihak berkuasa berkaitan sentiasa memantau keselamatan pokok di kawasan Tanjong.

“Langkah pencegahan yang lebih lanjut perlu diambil bagi mengelak tragedi seumpama ini daripada berulang,” katanya lagi.

Laporan bedah siasat ke atas mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati kedua-duanya mati akibat sesak nafas dihempap objek berat.

Mangsa dikatakan tiba untuk melancong di negara ini pada 14 September serta mendaftar masuk di sebuah hotel berhampiran empat hari kemudian dan dijangka mendaftar keluar pada 19 September.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini