JOHOR BAHRU: Keluarga Diraja Johor menyumbang lebih RM123 juta bagi membantu rakyat negeri itu berdepan dengan cabaran sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sepanjang tempoh itu juga, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengambil risiko dengan menitahkan pegawai istana turun ke kelapangan bagi menghulurkan bantuan.
“Sepanjang tempoh pandemik COVID-19 sahaja, keluarga Diraja Johor telah menyumbang lebih RM123 juta merangkumi pelbagai jenis sumbangan yang telah membantu 1.6 juta bangsa Johor mendepani cabaran pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan kepada Yayasan Diraja Johor serta pelancaran buku dan portal Kesultanan Johor yang disempurnakan oleh Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, dekat sini.
Turut berangkat Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Pada majlis itu, Onn Hafiz turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM7 juta kepada lima Yayasan Diraja Johor membabitkan antaranya Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Yayasan Raja Zarith Sofiah dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
Ia bertujuan bagi mendekati golongan sasar yang memerlukan bantuan dari segi pendidikan, kebajikan dan keusahawanan.
Pada majlis itu sebanyak tiga buah buku dengan judul Takhta Johor; Sultan Abu Bakar Monarch, Reformer, Diplomat serta buku Taat dan Setia: Almarhum Sultan Ismail Johor Dalam Kenangan dilancarkan.
Turut dilancarkan Portal Kesultanan Johor yang dibangunkan oleh kerajaan negeri Johor bertujuan menjadi hab rujukan serta informasi penting mengenai Kesultanan Johor.