Oleh: Siti Khadijah Jaafar.
BANTING: Mayat remaja perempuan Yap Xin Yuan, 15 tahun dijangka dituntut keluarganya sama ada esok atau lusa.
Menurut bapa mangsa, Yap Yen Yau, ketika ini keluarganya masih berurusan dengan pihak pengurusan mayat bagi urusan kremasi mendiang.
“Saya mahu tunggu (pihak pengurusan mayat) kemudian baru tahu. Mungkin esok atau Sabtu. Saya mahu tunggu mereka menempah tempat bakar (kremasi) baru boleh tahu,” katanya kepada Buletin TV3.
Beliau sebelum itu dilihat hadir ke Jabatan Forensik Hospital Banting bersama isterinya bagi proses pengecaman mayat mangsa.
Namun dia dan isteri enggan ditemu bual media.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah menyerahkan jasad mendiang kepada keluarga untuk tindakan lanjut.
Sabtu lalu mayat mangsa yang sudah reput ditemui di Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting, Selangor.
Mangsa dilaporkan hilang pada 19 Disember lalu apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.
Kali terakhir dia dilihat di gelanggang bola keranjang di Batu 11, dengan berpakaian baju tarian singa berwarna merah.
Susulan itu tiga lelaki termasuk teman lelaki remaja perempuan itu ditahan bagi membantu siasatan.
Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang juga telah mengklasifikasikan siasatan kes daripada orang hilang kepada siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.