comscore
Tumpuan :
Nasional

Keluarga Abdullah Sidek terima bantuan Pencen Penakat PERKESO

Subahan (tiga kiri) bersama Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim (dua kiri) memberikan faedah PERKESO kepada Isteri arwah Abdullah Sidek, Khairana bagi meringankan beban mereka. – FOTO: NSTP

SUNGAI BULOH: Keluarga bekas pengacara dokumentari Majalah 3, Abdullah Sidek Majin yang meninggal dunia 29 Mei lalu, akan menerima bantuan Pencen Penakat sebanyak RM1,743.75 setiap bulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Balunya, Khairana Sabtu, 53, berkata bantuan bulanan yang diberikan PERKESO itu akan digunakan untuk pembelajaran dua lagi anaknya yang kini sedang menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Ipoh.

“Saya bersyukur dengan pemberian daripada PERKESO ini, malah tak sangka anak saya, Ariq Mikhael yang kini berusia 20 tahun turut mendapat manfaat yang sama.

“Jadi ia bolehlah menampung perbelanjaan anak yang masih belajar. Sebagai ibu, sudah pastinya tumpuan adalah untuk anak-anak dan mahukan mereka mendapat pembelajaran yang berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Prihatin dan penyampaian sumbangan di rumahnya, di Sungai Buloh, hari ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal.

Hadir sama, Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi, Rangkaian Televisyen Media Prima, Farah Shamsuddin.

Abdullah Sidek adalah bekas kakitangan Primeworks Studios yang banyak menghasilkan dokumentari berkualiti tinggi serta menjadi kegemaran penonton televisyen suatu ketika dahulu.

Untuk info, Abdullah Sidek sudah tiga bulan menderita penyakit kanser limfoma tahap empat sebelum meninggal dunia pada 29 Mei lalu akibat ‘Septic Shock Secondary To Neutropenic Sepsis’.

Dalam pada itu, Khairana turut meminta orang ramai untuk mencarum dengan PERKESO kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban selepas kehilangan orang tersayang.

“PERKESO memang sangat prihatin dan perjuangkan nasib pekerja swasta. Saya ada kerjaya tetapi bayangkan jika isteri yang memang menjadi suri rumah dan tiada punca pendapatan, sudah tentu hilang punca sekiranya tidak mencarum,” katanya.

Sementara itu, Subahan berkata balu Allahyarham layak mendapat Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat bawah Skim Keilatan berikutan suaminya adalah pencarum yang berdaftar bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak Disember 1983 hingga Julai 2017.

“Balu dan salah seorang anaknya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 secara sekali bayar serta Pencen Penakat sebanyak RM1743.75 setiap bulan.

“Pencen itu akan diberikan kepada balu serta anaknya, Ariq sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan faedah berkenaan boleh diteruskan sekiranya beliau menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.

“Bagaimanapun, empat lagi anaknya tidak layak menerima faedah berkenaan kerana sudah melepasi had umur 21 tahun,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini