comscore
Tumpuan :
Nasional

Keluar mengundi tanpa gusar – Polis

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata pihaknya telah melakukan persiapan rapi yang secukupnya bagi memastikan hari pengundian berjalan dengan lancar.

Oleh: Selwam Arjunan

NIBONG TEBAL: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyeru 39,279 pengundi berdaftar yang layak keluar menjalankan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada esok tanpa sebarang kegusaran dan kebimbangan terhadap keselamatan awam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya telah melakukan persiapan rapi yang secukupnya bagi memastikan hari pengundian berjalan dengan lancar.

“Seramai 800 pegawai dan anggota polis telah diamanahkan untuk bertugas esok termasuk menjaga ketenteraman awam, kelancaran lalu lintas dan keselamatan pusat pengundian.

“Justeru, saya menyeru pengundi berdaftar di Sungai Bakap untuk keluar mengundi esok dalam keadaan dan perasaan yang aman damai, tanpa rasa bimbang dan ganggu gugat keselamatan.

“Pihak polis memberi jaminan bahawa akan jalankan tugas yang perlu dalam memastikan perjalanan PRK selesai dalam keadaan baik dan aman.

“Saya juga ingin menasihatkan pengundi agar tidak menyerahkan kad pengenalan anda kepada pihak luar kerana ia boleh disalahguna atau perbuatan sabotaj,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, di sini, siang tadi.

Beliau juga menyeru parti politik yang bertanding untuk mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya sepanjang hari pengundian esok.

Ia termasuk larangan untuk mengadakan sambutan kemenangan besar-besaran selepas pengumuman keputusan PRK, malam esok.

“Selepas sesuatu pihak diisytiharkan pemenang kita nasihatkan dilarang membuat sambutan luar biasa.

“Terutamanya sebarang perarakan (di jalan raya atau tempat awam) tidak dibenarkan sama sekali bagi meraikan kemenangan. Polis menyeru raikan kemenangan dalam keadaan berhemah dan tatatertib mengikut peraturan ditetapkan,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, sebanyak lima laporan polis dibuat berkaitan PRK sepanjang tempoh berkempen dan kesemuanya berada dalam tahap siasatan.

181 permit kempen dan ceramah telah dipohon kedua-dua parti bertanding dan kesemuanya telah diluluskan.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini