Tumpuan :
Nasional

Kelonggaran pengambilan pekerja asing mampu selesai isu kekurangan tenaga kerja – MEF

Foto Hiasan

PUTRAJAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) percaya keperluan minimum untuk proses permohonan di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing mampu membantu dalam menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja di negara ini.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata keputusan itu antara lain akan membantu mengurangkan tempoh masa untuk permohonan tenaga kerja yang mana ia menjadi antara dua isu utama dihadapi majikan dan pekerja asing selama ini.

Pada masa ini, beliau berkata, majikan dan pekerja asing dibebani kos tinggi selain masa menunggu yang terlalu lama sebelum pekerja asing dapat datang ke Malaysia terutama untuk sektor 3D atau sektor berbahaya, sukar dan kotor.

Keadaan itu, katanya menyebabkan ada majikan yang terpaksa menunggu sehingga enam bulan bagi proses berkenaan selepas permohonan dibuat dan ia membebankan.

“Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing akan membolehkan majikan mengambil pekerja berdasarkan keupayaan dan keperluan tanpa terlebih dahulu memenuhi kelayakan pengambilan prasyarat serta kelayakan kuota.

“MEF berpandangan keperluan minimum untuk permohonan pekerja asing di bawah pelan ini akan menyelesaikan isu kekurangan pekerja asing, membolehkan majikan beroperasi pada tahap optimum dan membantu negara mencapai sasaran empat hingga lima peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata majikan akan dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota yang antara lain permohonan majikan terbabit boleh diluluskan dalam tempoh tiga hari.

Beliau berkata, selain itu Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja yang tamat 31 Disember lalu akan diteruskan selama setahun, berkuat kuasa serta-merta.

Ia antara keputusan Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Bangunan Perdana Putra semalam.

Dalam pada itu, Syed Hussain percaya sistem sedia ada di negara sumber dan Malaysia hendaklah ditambah baik dan prosesnya juga dipertingkatkan melalui pendigitalan untuk mengurangkan peranan ejen, malah bayaran dikenakan juga akan berkurangan.

Mengulas Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja yang diteruskan setahun lagi, beliau berkata, kerajaan harus membenarkan majikan daripada semua sektor termasuk perusahaan mikro untuk ‘menghalalkan’ pekerja asing tanpa izin (PATI) di bawah program itu tanpa mengehadkan kepada sektor ekonomi tertentu.

“PATI yang ingin mengambil bahagian dalam program itu harus mendaftarkan diri mereka sendiri bukan dengan bantuan majikan. Apabila sudah berdaftar, majikan yang berminat mengambil mereka boleh mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa.

“Tindakan sedemikian akan membantu negara memantau PATI dan merangka pelan tindakan untuk menguruskan keadaan,” katanya.

Beliau berkata, pelan dan program rekalibrasi itu boleh berfungsi sekiranya ia membabitkan kos rendah dengan syarat kelayakan minimum.

“Di bawah program 6P (Program Penyelesaian Menyeluruh PATI) sebelum ini, majikan berurusan dengan Jabatan Imigresen secara langsung dan tidak tertakluk syarat kelayakan ketat serta membayar kos berpatutan kerana tiada pihak ketiga yang terbabit,” katanya.

Loading...
Terkini