comscore
Tumpuan :
Nasional

Kelompok T15 belum dimuktamadkan – PM

IPOH: Kerajaan belum memuktamadkan jumlah tangga pendapatan bagi klasifikasi kelompok 15 peratus teratas rakyat berpendapatan tinggi atau lebih dikenali T15, yang akan dikecualikan daripada beberapa subsidi tahun depan.

Menerusi penjelasan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan anggapan dan fahaman sebilangan pihak yang secara pasti mentakrifkan bahawa T15 yang akan dikecualikan daripada subsidi tahun depan adalah isi rumah berpendapatan RM12,000 ke atas seperti takrifan dipakai pada masa kini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata kerajaan sedia mempertimbangkan agar klasifikasi kelompok yang akan dikecualikan daripada beberapa subsidi itu diubah daripada T15 menjadi T10 iaitu kelompok 10 peratus teratas rakyat berpendapatan tinggi.

“Ada orang marah sebab T15…. Siapa kata (T15 adalah) RM12,000? Ia belum diputuskan kerana kita hendak tengok apakah T15 itu mampu bayar.

“Kalau tak mampu, kita jadikan pula T10, atau tingkatkan (kadar tangga pendapatan) T15 itu menjadi lebih tinggi daripada RM12,000 iaitu mungkin RM15,000 atau RM18,000 sebulan.

“Ini tidak! dipertahankan pula T15 itu, sedangkan ada daripada mereka berpendapatan RM100,000 malah ada yang RM1 juta sebulan. Takkan yang itu hendak pertahankan?

“Kalau pendapatan dia rendah, kita bawa dan kita bagi pertimbangan untuk tidak mahu bebankan rakyat. Yang pentingnya, (sekurang-kurangnya) 85 peratus daripada rakyat Malaysia tidak terkesan,” katanya berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Perak di Hotel Kinta Riverfront, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan pada 18 Oktober lalu mencetuskan pertikaian beberapa pihak terutama pembangkang yang mempersoalkan mengapa kumpulan pendapatan T15 disebut sebagai bakal dikecualikan subsidi sedangkan takrifan mengenai kelompok itu belum dimuktamadkan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendakwa maklumat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan T15 adalah golongan mereka yang menerima pendapatan atau gaji sebanyak RM12,000 ke atas tetapi isi rumah bagi kumpulan itu bukan seorang, namun mewakili 3.8 peratus individu.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Anwar dilapor berkata warga asing dan 15 peratus pengguna teratas yang digelarnya ‘mahakaya’, menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 kerajaan yang merangkumi kira-kira RM8 bilion dan justeru nilai itu lebih baik sekiranya dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan awam, pendidikan dan pengangkutan.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dilapor berkata, kerajaan kini sedang beralih kepada satu konsep baharu perbelanjaan bersih sesebuah isi rumah agar mereka menjalani kehidupan yang wajar termasuk dalam hal memperhalusi pengkelasan kategori T15.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini