comscore
Tumpuan :
Nasional

Kelindan maut lori dinaiki terbabit kemalangan kendiri

Oleh: Kadir Edison

BINTULU: Seorang kelindan maut manakala rakannya dan pemandu lori berkenaan cedera selepas lori yang dinaikinya terlibat kemalangan kendiri berdekatan Kampung Nyalau di sini, petang tadi.

Insiden kira-kira jam 2.20 petang itu mengakibatkan Ricky Nelson, 25 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, bomba menerima pangilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar jak 2.27 petang lalu mengarahkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju untuk ke lokasi kejadian.

“Setibanya anggota berkenaan pada jam 2.37 petang mendapati berlaku satu kemalangan jalan raya kendiri melibatkan sebuah lori tiga tan dengan seorang mangsa tersepit di bahagian kaki.

“Dua lagi mangsa yang turut terlibat dalam kemalangan itu berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, anggota terlibat mengambil masa hampir sejam mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan teknik penyelamatan dengan perlatan khas sehingga jam tiga petang.

Bagaimanapun mangsa disahkan maut oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan yang turut berada di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi berkenaan ditamatkan pada jam 6.25 petang.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini