Tumpuan :
Nasional

Kelindan maut lori dinaiki rempuh kren

FOTO: NSTP

DUNGUN: Seorang kelindan maut selepas lori yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kren di Kilometer 64, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kuala Abang, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang, Mohammad Hairi Ismail, 23, yang berasal dari Jalan Peserai Batu Pahat, Johor maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan anggota badan.

Ketika kejadian, mangsa bersama rakannya, yang memandu lori terbabit, Mohamad Azwan Mohd Hishammudin, 30, juga berasal dari Batu Pahat dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, lori yang membawa muatan makanan ringan terbabit dikatakan melanggar bahagian belakang kren terbabit yang berada di depannya.

FOTO: NSTP

Menurutnya, rempuhan terbabit menyebabkan lori terbabit terbabas ke kiri jalan.

“Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian sementara pemandu lori terbabit cedera di bahagian dahi.

“Pemandu dan kelindan kren terbabit yang berusia 51 dan 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Maizura berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengankutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini