Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Kejadian seorang kelindan lori menumbuk anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tular di media sosial sejak semalam, berlaku pada 22 November tahun lalu di Jitra.
Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku ketika anggota berkenaan sedang melakukan tugas rondaan penguatkuasaan sekitar jam 4.04 petang.
Kenderaan jenis lori rigid Luton model Nissan Vanette yang dinaiki suspek telah dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Kenderaan tersebut telah diarahkan untuk berhenti namun pemandu enggan memberi kerjasama. Ketika berjaya ditahan di Jalan Tasik Darul Aman, pihak yang terlibat telah melakukan kekerasan jenayah dan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas.”
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesalahan yang telah dikesan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) Tamat Tempoh, Tiada Perlindungan Insurans dan Perakuan PUSPAKOM Tamat Tempoh,” katanya.
Susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat oleh anggota bertugas.
Suspek kemudian telah ditahan oleh pihak polis dan didakwa di Mahkamah Majistret Jitra di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan pada 27 November.
Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara satu hari dari tarikh sabitan dan denda sebanyak RM4,000.