
KLUANG: Seorang kelindan lori berusia 14 tahun terbunuh dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan berhampiran Taman Sri Bayu Simpang Renggam, kira-kira jam 3 petang tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Norhisam Ihwan, berkata remaja lelaki itu tersepit di tempat duduknya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan itu.
Beliau berkata, kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu dua Proton Wira, Kia Sportage, Toyota Vellfire dan sebuah lori seberat lima tan.
“Enam individu lain juga cedera dalam kejadian itu, termasuk pemandu lori berusia 67 tahun serta pemandu dan penumpang Toyota Vellfire, yang dikeluarkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan keselamatan tiba di lokasi,” katanya ketika dihubungi.
Turut cedera, kedua-dua pemandu Proton Wira masing-masing berusia 62 tahun dan 28 tahun selain pemandu Kia Sportage, lelaki berusia 35 tahun.
Kelindan lori yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.