Oleh Nur Ain Zulfah Yahya
PETALING JAYA: Kes penderaan kanak-kanak angkara pengasuh terus menerus dilaporkan.
Justeru kebimbangan ibu bapa dan penjaga untuk menghantar anak-anak ke pusat penjagaan kanak-kanak kerana dibimbangi akan menerima nasib sama.
Ramai kembali mempertikaikan syarat kelayakan pengambilan pengasuh di premis terbabit adakah mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.
Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad berkata, setiap pengasuh hendaklah mempunyai beberapa kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Jelasnya antara kriteria yang membolehkan pengasuh itu bekerja di mana-mana institusi penjagaan kanak-kanak, ialah warganegara Malaysia, Berumur 18 tahun ke atas dan perlu menghadiri dan lulus kursus asuhan dan didikan awal kanak-kanak PERMATA.
Dalam pada itu, Anisa ketika ditanya mengenai kes-kes yang masih lagi berlaku akhir-akhir ini, tegasnya kadang-kala kejadian ini disebabkan emosi pengasuh itu sendiri.
Setiap manusia mempunyai emosi yang berbeza-beza pada setiap hari yang boleh menyumbang kepada tingkah laku luar kawalan pengasuh sehingga wujud kes penderaan kanak-kanak di rumah asuhan, tadika dan sebagainya.
“Pengasuh ini seperti kita semua, kita manusia, kita semua ada mental… bukan mental health tapi kita ada masalah kesihatan, kesihatan mental maksudnya hari ni kita mungkin agak ok, kita sekarang kat depan TV, semua senang, tenang je tapi dalam hati tuhan je tahu macam mana kan.”
“Dan kadang-kadang ada satu-satu masa tu kita terlampau sensitif, jadi sama juga dengan pengasuh ni walaupun dia melalui saringan or apa tapi kadang-kadang mental state dia tu kadang-kadang kita tak tahu apa yang terjadi dekat rumah.” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rancangan Malaysia Hari Ini di sini hari ini.
Tambahnya persekitaran di tempat asuhan juga perlu diberi keutamaan oleh ibu bapa seperti melihat jumlah kanak-kanak yang dijaga oleh setiap pengasuh.
Ia bagi mengelakkan lebihan kuota yang ditetapkan oleh JKM untuk setiap pengasuh contohnya bagi sembilan orang bayi adalah untuk tiga pengasuh.