Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Siapa sangka tuah badan dengan hanya menghantar video slogan berdurasi 30 saat sempena Hari Kebangsaan, si cilik berpeluang dipilih untuk menghadiri Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9.
Mengangkat tema Manis Pahit Bersama, program itu ternyata mampu mencungkil bakat kulinari si cilik yang terpendam.
Bersempena kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, TV9 tampil menganjurkan Kelas Kuih Malaysia di bawah segmen Jaguh Kartun.
10 penonton cilik berusia enam hingga 12 tahun terpilih untuk menyediakan tiga jenis kuih mewakili kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia.
Program berlangsung dari jam 9 pagi di ibu negara ternyata memberi pengalaman berbeza buat peserta sekaligus dapat mengeratkan hubungan antara ibu dan anak.
“Hari ini saya join kelas kuih sebab menang peraduan. Saya buat tiga kuih, kuih ketayap, kuih angku dan putu mayam,” ujar Adira Awliya Mohd Saffarudie, 7, selaku salah seorang pemenang peraduan.
Ibunya pula tidak menyangka penyertaan saat akhir itu membawa tuah sehingga berjaya membawa dia dan anaknya ke kelas kuih anjuran TV9 itu.
“TV9 ni macam dia punya waktu rest balik sekolah. Balik KAFA so dia balik petang-petang tu tengok TV9 lah.
“Tengok iklan ada penyertaan tu hari terakhir baru kami cuba, dah 12 Ogos baru hantar penyertaan, memang rezekilah kan”, ujar ibu kepada si cilik itu.
Rata-rata kanak-kanak terlibat juga akui minat dalam bidang masakan yang mendorong mereka menghantar penyertaan ke TV9.
Bagi Pengurus Besar Pengurusan Program dan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman program itu bertujuan menyemai semangat patriotik dalam kalangan penonton cilik yang mana jika tidak didedahkan akan lapuk dan hilang ditelan zaman.
Beliau tidak menolak kemungkinan program seumpamanya akan diadakan pada masa hadapan dengan skala lebih besar.