comscore
Tumpuan :
Nasional

Kelar bayi: Ibu berubah jadi pendiam sebelum kejadian – Ahli keluarga 

Gambar kejadian yang tular di media sosial. FOTO: NSTP / Tular

PASIR GUDANG: Wanita yang mengelar anak lelakinya berusia setahun enam bulan di kawasan Taman Cahaya Masai di sini, dikatakan berubah sikap sejak beberapa hari lalu.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, perubahan sikap wanita berusia 32 tahun itu yang dilihat lebih pendiam, disedari suaminya beberapa hari sebelum kejadian tragis itu.

Katanya, seluruh ahli keluarga terkejut dengan kejadian ini dan tidak menyangka insiden ngeri ini terjadi terhadap mereka.

Lokasi kejadian seorang bayi yang dikelar ibu kandung di Taman Cahaya Masai. – FOTO: NSTP

“Kami sendiri terkejut dengan kejadian itu kerana pasangan suami isteri ini memang normal, hubungan mereka baik-baik sahaja. Si isteri juga setahu saya tiada sakit.

“Mereka kerap pulang ke kampung halaman, hampir setiap minggu. Kali terakhir mereka pulang adalah pada awal Ramadan, sempat menyambut puasa bersama.

“Cuma suaminya ada beritahu isterinya menjadi pendiam beberapa hari sebelum kejadian, kurang bercakap.

“Suaminya ada juga beritahu, dia risau nak tinggalkan isterinya untuk pergi kerja sebelah pagi, kerana malam sebelum kejadian isterinya dilihat hanya diam,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di sini, hari ini.

Menurut ahli keluarganya, mangsa yang merupakan anak tunggal, seorang kanak-kanak yang aktif dan ceria.

“Mangsa baru pandai berjalan dan pandai bercakap, memang tengah aktif bermain bersama sepupunya, terutama apabila mereka pulang ke kampung halaman di Segamat,” katanya yang memaklumkan jenazah kanak-kanak itu akan dikebumikan di kampung halaman ibunya di Felda Redong, Segamat.

Keluarga kedua-dua pihak memaklumkan pasangan itu sudah lama kenal sejak di bangku sekolah, sebelum mendirikan rumah tangga pada Disember 2021.

Terdahulu Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar dilaporkan berkata, seorang ibu kandung dipercayai mengelar bayi lelakinya dirumahnya pada jam 1.30 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati, ibu mangsa telah menghantar gambar si mati yang berlumuran darah pada leher melalui aplikasi WhatsApp kepada suaminya.

Wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan untuk mengelar mangsa.

Kumar berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat.

Katanya, setakat ini motif dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini