KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menetapkan tujuh kategori premis yang perlu mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi memperoleh Lesen Kekal Perniagaan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, berkata syarat itu dikenakan bagi premis yang dikunjungi pelanggan Islam di daerah ini.
Katanya, premis berkenaan adalah restoran, kiosk dan medan selera yang beroperasi dalam lapangan terbang, pasar raya serta kopitiam.
“Selain itu, restoran berantai yang mempunyai lebih daripada satu cawangan (Naskeen, KB Brewster, Asam Laksa dan sebagainya) perlu mendapatkan SPHM.
“Restoran makanan segera, dapur hotel (hotel sekurang-kurangnya menyediakan sarapan pagi), kedai kek dan roti (premis menjual bahan-bahan mentah dan kedai membuat atau menjual sendiri roti).
“Kilang memproses produk makanan, minuman, bahan gunaan dan kosmetik (kilang perusahaan) serta pusat penyembelihan ayam kena ada SPHM,” katanya lapor BH Online.
Beliau berkata, ini berikutan premis ini sentiasa menjadi pertikaian dalam kalangan pengguna Muslim kerana sebahagian daripada bahan dan ramuan mereka bersumberkan rantaian bahan mentah diimport dan ada status halalnya diragui.
Katanya, jika peniaga mahu premis dan produk berstatus halal, mereka hendaklah melalui proses standard yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) bagi mendapatkan SPHM.
“Walaupun Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mempunyai kuasa mengeluarkan lesen di bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian 1985, namun MPKB-BRI tidak mempunyai kuasa mengeluarkan Lesen Kekal kepada tujuh kategori perniagaan berkenaan kerana terikat dengan syarat yang dikenakan Pihak Berkuasa Negeri.
“Oleh itu, MPKB-BRI mengambil inisiatif mengeluarkan lesen sementara sehingga kesemua tujuh kategori perniagaan itu mendapat SPHM masing-masing dan mereka dapat beroperasi seperti biasa dalam tempoh satu tahun,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan premis sudah mendapatkan sijil halal dan menasihatkan premis lain supaya berusaha memohon SPHM dalam tempoh satu tahun daripada tarikh lesen sementara sehingga berjaya mendapatkan SPHM untuk pengeluaran Lesen Kekal.
Terdahulu media melaporkan, kerajaan Kelantan mensyaratkan pemilik dan pengusaha premis berasaskan makanan serta minuman memiliki SPHM sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.