comscore
Tumpuan :
Nasional

Kelantan rekod projek perumahan sakit swasta tertinggi

Oleh Ifara Wahid 

KUALA LUMPUR: Kelantan merekodkan jumlah tertinggi projek perumahan swasta yang lewat siap dan dikategorikan sakit berdasarkan data bulanan dikumpul Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai.

Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pihaknya akan ke Kelantan bagi meninjau projek yang lewat siap dan dikategori sakit, Ahad ini.

“Dari segi angka, untuk negeri Kelantan, projek yang dikategorikan dalam perancangan ada tujuh, yang lancar ada 36, lewat ada tiga dan 40 projek adalah dalam kategori sakit.

“Walaupun jumlah keseluruhan projek di negeri Kelantan hanya sebanyak 86 namun, apabila separuhnya bermasalah ia bermaksud kalau kita beli rumah di Kelantan, peluang untuk projek itu bermasalah adalah 50-50”

“Ini sangat membimbangkan, maka kita susun untuk adakan pertemuan (dengan pihak kerajaan negeri) dan untuk adakan pemantauan di tapak projek lewat dan sakit Ahad ini,” katanya kepada media di Parlimen, hari ini.

Menurut Akmal lagi, dari segi perbandingan antara negeri-negeri lain, peratusan negeri yang merekodkan projek lewat dan sakit yang paling tinggi ialah negeri Kelantan, iaitu 50 peratus projek perumahan bermasalah.

“Di Selangor, projek yang dalam perancangan tetapi belum mula adalah sebanyak 30 projek, kategori lancar pula sebanyak 742, projek lewat adalah sebanyak 39 projek dan 108 projek lainnya adalah dalam kategori sakit.

“Jadi, projek lewat atau sakit di Selangor hanya antara 16 hingga 18 peratus sahaja.

“Manakala Perlis hanya mempunyai 22 projek, yang sakit ada empat, satu projek lewat manakala 17 lagi lancar,” katanya.

Tambahnya, bagi bulan April tahun ini, Task Force telah berjaya melancarkan kembali sebanyak 26 projek dan 20 projek sudah diberi CCC (Perakuan Siap dan Pematuhan).

Secara keseluruhan, sejak Task Force diwujudkan bagi penggal kali ini, sebanyak 118 projek telah berjaya dipulihkan.

Loading...
Terkini