Tumpuan :
Nasional

Kelantan pantau penjualan ‘gummy mata’ elak kanak-kanak jadi mangsa

FOTO IHSAN FB PUBLIC HEALTH MALAYSIA

KOTA BHARU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) Kelantan akan melakukan pemantauan penjualan gula-gula kenyal atau ‘gummy’ berbentuk mata di sekitar kawasan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya juga meminta pihak sekolah menyalurkan maklumat berkaitan jika mengetahui ada penjual atau penjaja yang menjual gula-gula terbabit.

“Biasanya peniaga ambil barang jualan seperti ini dari Thailand atau beli secara dalam talian. Namun, setakat ini, kita belum menerima sebarang aduan berkaitan penjualan gula-gula yang berbahaya kepada kanak-kanak ini.

“PBT akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa berkaitan penjualan produk yang dianggap berbahaya, terutama di kawasan sekitar sekolah,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu, Hilmi ditemui di Dewan Gelanggang Seni, selepas menyempurnakan majlis penutup taklimat dan simulasi bidang tugas kepada pasukan amilin/amilat Madinah Ramadan.

Sebelum ini, media melaporkan, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, yang dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata, disahkan meninggal dunia, 11 malam Khamis lalu, ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Mangsa sebelum itu berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP selepas dikatakan rebah dipercayai akibat tercekik gula-gula kenyal yang dibeli di luar sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Sungai Dua, Butterworth, Selasa lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini