KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penyaluran wang ihsan berjumlah RM177.96 juta kepada negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata wang ihsan diterima Kelantan tahun ini keseluruhannya berjumlah RM216.96 juta.
Katanya, kerajaan negeri juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri ketika meninjau situasi banjir dan melawat mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan.
“Ia termasuk kelulusan peruntukan segera bagi membina benteng sementara bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang bernilai RM6 juta.
“Selain itu, pengumuman proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM910.52 yang akan dimulakan pada tahun depan.
“Kerajaan negeri akan mengambil segala langkah yang perlu untuk menyegerakan urusan pengambilan balik tanah untuk projek-projek ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri yakin pengumuman itu akan memberi manfaat demi kesejahteraan rakyat sekali gus memperkukuhkan semangat federalisme antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan selari budaya politik matang dan sejahtera.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Kelantan pada November lalu memaklumkan pihaknya hanya mendapat bantuan wang ihsan RM40 juta daripada Kerajaan Pusat, berbanding tahun lalu RM331.38 juta.
Mohd Nassuruddin berkata jumlah itu dianggap begitu ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya dan pihaknya berharap baki wang ihsan berkenaan dapat disalurkan pada akhir tahun ini.