Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kelantan aktifkan pusat kawalan operasi banjir 5 daerah

KOTA BHARU: Kelantan mengaktifkan lima pusat kawalan operasi banjir (PKOB), masing-masing di daerah Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Pasir Puteh bagi menyelaras pengurusan bencana bah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata ia susulan Jabatan Meteorologi (METMalaysia) mengeluarkan ramalan hujan lebat tahap bahaya di seluruh negeri ini hingga 21 Disember depan.

Sehubungan itu, beliau berharap, penduduk Kelantan patuh dengan arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa, terutama membabitkan arahan untuk berpindah yang seboleh-bolehnya diharap dapat dilakukan sebelum waktu Maghrib.

Ahmad juga meminta seluruh penduduk di negeri ini untuk sentiasa peka kepada perkembangan dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“MetMalaysia sudah mengeluarkan ramalan terkini jam 12.30 tengah hari tadi mengenai hujan lebat tahap bahaya di seluruh Kelantan sehingga 21 Disember. Paras air sungai utama di Kelantan juga menunjukkan peningkatan dan melepasi paras bahaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memindahkan wanita warga emas mangsa banjir di Kampung Bakat, Machang, hari ini. – FOTO: Ihsan APM

Sehingga jam 1 tengah hari tadi, Menteri Besar memaklumkan, jumlah mangsa banjir di Kelantan membabitkan 3,011 individu daripada 893 keluarga yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau turut mengarahkan wakil rakyat bersama-sama ketua jajahan dan pegawai terutama di kawasan berisiko banjir supaya mengambil langkah proaktif dan cakna keselamatan serta kebajikan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jajahan masing-masing.

“Saya juga minta seluruh rakyat Kelantan supaya melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya negeri kita tidak dilanda dengan banjir besar,” katanya.

Loading...
Terkini