Tumpuan :
Nasional

Kekurangan staf di hospital, klinik jejas perkhidmatan kesihatan 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Hartal Doktor Kontrak (HDK) memberi amaran masalah kekosongan jawatan yang tidak diisi di klinik dan hospital kerajaan bakal mengganggu kelancaran perkhidmatan kesihatan negara.

Masalah ini semakin meruncing jika kerajaan tidak mengambil tindakan segera menyelesaikan isu perjawatan petugas perubatan.

Dalam kenyataan hari ini, HDK berkata, walaupun kerajaan mengumumkan perjawatan tetap untuk seramai hampir 4,000 doktor kontrak, secara tidak langsung perkara itu menimbulkan krisis terbaru dalam permasalahan penjagaan kesihatan yang sedia kritikal.

Pertubuhan itu menyifatkan jawatan tetap ditawarkan itu suatu langkah terpuji bagi menyelesaikan masalah ketidakpastian perjawatan, namun apabila doktor yang terbabit berpindah dan melakukan transisi ke tempat baharu, masalah kekosongan berskala besar akan berlaku di jabatan, hospital dan klinik yang mereka pernah berkhidmat sebelum ini.

“Unjuran kekurangan kakitangan perubatan sepanjang tempoh transisi ini sekali gus akan menyebabkan peningkatan ketara kepada tempoh menunggu pesakit di jabatan kecemasan dan klinik kesihatan,” katanya.

HDK berkata, keadaan ini bakal menyebabkan kualiti perkhidmatan terjejas secara drastik.

“Amaran yang diberikan ini bukanlah situasi dan senario abstrak yang direka cipta, tetapi krisis yang bakal mengancam setiap rakyat yang bergantung sepenuhnya pada sistem penjagaan kesihatan awam kita.

“Krisis ini tidak seharusnya dipandang ringan, kekurangan bilangan doktor juga bakal menambah beban kepada tertangguhnya diagnosis, penderitaan berpanjangan dan jumlah peningkatan yang tidak perlu dalam kes kematian yang boleh dielakkan,” katanya.

HDK juga memberi jaminan akan sentiasa bersama semua petugas profesional penjagaan kesihatan yang bakal terbeban dengan krisis ini untuk menyokong dan mempertahankan hak serta kebajikan mereka.

“HDK mengiktiraf dan sangat menghargai komitmen diberikan kepada masyarakat selama ini.

“Sebagai tindak balas kepada situasi kritikal ini, HDK mencadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan diwujudkan dengan segera untuk menangani masalah pengurusan sumber manusia, pengagihan kakitangan, pelaksanaan latihan dan kemajuan kerjaya profesional penjagaan kesihatan yang lebih tertumpu serta spesifik,” katanya.

Pertubuhan itu mendakwa, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak sesuai menguruskan petugas kesihatan profesional kerana jabatan itu kurang memahami tuntutan dan cabaran unik dihadapi kakitangan sektor penjagaan kesihatan ini.

“Melihat kepada pucuk pimpinan semasa di bawah kendalian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen, kini adalah waktu dan peluang sesuai untuk mewujudkan suruhanjaya itu,” katanya.

HDK turut menggesa kerajaan dan ahli Parlimen lain, tanpa mengira gabungan parti untuk menyokong inisiatif ini.

Loading...
Terkini