Tumpuan :
Nasional

Kekurangan diri tidak menjadi penghalang 2 graduan OKU penglihatan peroleh ijazah dari UM

KUALA LUMPUR: Dua sahabat yang juga graduan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), berjaya menamatkan pengajian mereka.

Partiban A/L Perumal dari Jabatan Pengajian Asia Tenggara dan Nur Izhan Fathi Saipul Anuwar dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi meluahkan rasa syukur ketika ditemui di Istiadat Konvokesyen UM Ke-64.

“Sokongan keluarga, rakan-rakan dan pensyarah menjadi tonggak kejayaan saya, walaupun saya mempunyai kekurangan.

“Hari ini, saya berasa sangat bangga dapat bergraduasi di dewan bersejarah ini, tempat yang sama di mana ibu saya juga pernah bergraduasi,” katanya.

Nur Izhan, yang memiliki minat dalam bidang seni dan kreatif, bercita-cita untuk meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.

Partiban pula menyifatkan sokongan daripada kedua-dua adik dan keluarganya sebagai sumber kekuatan utama sepanjang menjalan pengajian di UM.

“Kenangan yang paling tidak dapat dilupakan ialah semasa tahun pertama saya di UM pada tahun 2020, iaitu ketika kemuncak pandemik Covid-19.

“Saya memilih untuk menginap di Kolej Kediaman dan belajar untuk berdikari sepanjang pengajian,” katanya.

Kisah kejayaan dua graduan ini menjadi bukti bahawa keazaman dan sokongan daripada orang sekeliling mampu membantu seseorang mengatasi segala cabaran, sekali gus mencapai impian mereka.

UM pada tahun ini meraikan 9,253 graduan sempena Istiadat Konvokesyen Ke-64 dalam 16 sidang bermula 30 November lalu hingga 8 Disember ini.

Pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-64 telah diisytiharkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Canselor UM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini