Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kekurangan bekalan: Kerajaan teliti kaedah campur tangan di peringkat pengguna

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempertimbang untuk meneliti kaedah campur tangan kerajaan di peringkat pengguna susulan isu kekurangan bekalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Kabinet esok untuk membuat keputusan.

Foto: Prime Minister’s Office of Malaysia

“Pada saat ini, isu bekalan menjadi tumpuan utama kerajaan kerana kekurangan bekalan akan memberi dampak yang buruk. Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) telah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar dan beberapa ikhtiar telah disyorkan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat NACCOL di sini hari ini.

Mesyuarat dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; semua Menteri yang berkaitan serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut hadir, pegawai tertinggi kerajaan dan agensi kerajaan diketuai Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Yunus serta Ketua-ketua Setiausaha kementerian.

Foto: Prime Minister’s Office of Malaysia

Datuk Seri Anwar berkata, mesyuarat NACCOL bilangan 4/2022 itu membincangkan mengenai isu yang telah dibangkitkan pada mesyuarat khas lalu.

Pada mesyuarat khas NACCOL, 27 November lalu, Perdana Menteri memberikan masa selama dua minggu kepada kementerian terbabit untuk membentangkan semula kertas komprehensif setelah mengadakan sesi libat urus dengan pihak terlibat.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal yang turut
memanfaatkan golongan mahakaya dan konglomerat.

Langkah itu ke arah menyokong kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang amat terkesan dan memerlukan.

“Sebagai contoh, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai hampir 10 juta pengguna tetapi 10 peratus dari angka itu yakni 1 juta pengguna yang meliputi kumpulan konglomerat menikmati lebih dari 50 peratus subsidi elektrik.

“Jabatan-jabatan kerajaan mesti merangka dan membangun wahana yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi
bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri serta memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kebijakan ini,” katanya.

Sebanyak tiga kertas telah dibentangkan dalam Mesyuarat NACCOL yang mengupas isu, tantangan dan strategi secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Laporan-laporan itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan awal daripada pemegang taruh berkaitan terutama pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hak pengguna.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan berhasrat untuk memudahkan industri penternakan untuk mengeksport ke luar produk termasuk menjamin bantuan yang lebih besar dan bersasar, terutama kepada pengusaha tempatan.

Langkah itu juga bagi memastikan sektor tersebut menghasilkan bekalan yang cukup untuk keperluan rakyat.

“Kerajaan juga konsisten dalam membangun serta mendukung pembangunan industri yang mampan. Sektor penternakan negara telah lama mencapai tahap yang mampan untuk memenuhi permintaan tempatan dan berupaya untuk mengeksport,” katanya.

Loading...
Terkini