Tumpuan :
Nasional

Kekerapan mutasi virus COVID-19 punca jangkitan berulang

Penduduk melakukan ujian calitan di kawasan perumahan susulan sekatan pergerakan disebabkan COVID-19 di Beijing. – Foto AFP

KUALA LUMPUR: Kekerapan virus COVID-19 bermutasi menyebabkan antibodi yang terhasil kurang berkesan dalam melindungi pesakit daripada mengalami jangkitan berulang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, virus penyebab COVID-19 iaitu SARS-CoV-2 adalah virus RNA yang sering menghasilkan varian baharu.

Beliau menjelaskan, antibodi yang terhasil akan mulai berkurangan dalam tempoh tertentu selepas jangkitan.

“Bergantung kepada sistem imun individu, individu yang dijangkiti COVID-19 akan menghasilkan antibodi terhadap jangkitan itu.

“Bagaimanapun, virus penyebab COVID-19 sering bermutasi dan menghasilkan varian baharu.

Seorang petugas kesihatan memakai peralatan pelindung diri (PPE) mengelap pintu di sebuah klinik di hospital susulan peningkatan kes COVID-19 di Beijing, China. – Foto REUTERS

“Oleh itu, antibodi yang terhasil daripada jangkitan awal disebabkan oleh varian dahulu kurang berkesan terhadap varian baharu SARS-CoV-2 terkini yang berada di persekitaran,” katanya kepada BH.

Berdasarkan laman sesawang KKMNow, jangkitan COVID-19 sehingga kelmarin merekodkan penambahan 1,671 kes baharu dengan keseluruhan 26,578 kes masih aktif dilaporkan sehingga kini.

Oktober lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran Malaysia berdepan gelombang kecil XBB, subvarian kepada varian Omicron yang dijangka menyebabkan peningkatan jangkitan COVID-19 antara 3,000 hingga 5,000 kes sehari dalam beberapa minggu mendatang.

Berdasarkan laporan Mail Online baru-baru ini, pasukan penyelidik di China menemukan virus baharu menyerupai COVID-19 dalam tubuh kelawar di selatan negara itu dan dikhuatiri berpotensi menjangkiti manusia dan haiwan ternakan.I

Penyelidik di China mengambil sampel daripada 149 kelawar membabitkan 15 spesies di seluruh wilayah Yunnan dan menemui lima jenis virus baharu yang membimbangkan.

Satu daripadanya adalah virus seperti COVID-19 dikenali sebagai BtSY2 yang mempunyai persamaan dengan SARS-CoV-2.

Dr Noor Hisham berkata, KKM menasihatkan masyarakat mendapatkan vaksin dos penggalak bagi memastikan tahap antibodi dapat ditingkatkan semula.

Ia juga dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit serius jika dijangkiti COVID-19.

“Amalkan gaya hidup yang sihat dan selamat supaya terhindar dari bahaya jangkitan COVID-19,” katanya.

Loading...
Terkini