comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Kekal desak kerajaan hadkan jualan beras tempatan kepada rakyat Malaysia’ – Akmal Saleh

Foto hiasan

MELAKA: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh kekal mendesak kerajaan supaya mengehadkan jualan beras tempatan hanya kepada rakyat Malaysia.

Ia sekali gus menempelak tuduhan Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) yang mendakwa cadangan berkenaan sebagai tidak masuk akal dan tidak berperikemanusiaan kepada warga asing.

“Tidak berperikemanusiaan, katanya. Lagi tak berperikemanusiaan apabila mengenangkan rakyat Malaysia hanya mampu tengok warga asing membeli beras tempatan yang disubsidi oleh kerajaan.

“Bila beras (tempatan) dah cukup (untuk rakyat Malaysia) dan ada lebihan, berilah (kepada) siapa nak beli. (Sekarang) ini isu beras tempatan (masih) tak cukup lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Muhamad Akmal yang juga EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, meminta Presiden CASSA, Datuk Seri Dr Jacob George supaya turun padang dan melihat sendiri kesulitan rakyat tempatan untuk mendapatkan beras bersubsidi.

Dr Muhamad Akmal Saleh, Ketua Pemuda UMNO

“Mohon Datuk (Seri) turun ke bawah dan lihat sendiri, bukan hanya duduk kat rumah sambil makan beras import,” katanya.

George dalam kenyataannya hari ini, dilaporkan berkata, gesaan beberapa pemimpin politik supaya pembelian beras tempatan dihadkan hanya kepada rakyat Malaysia dianggap tidak masuk akal kerana langkah sedemikian dikhuatiri boleh mencetuskan huru-hara.

Katanya lagi, cadangan itu bukan sahaja tidak berperikemanusiaan kepada warga asing yang menetap di sini, malah tindakan jangka pendek yang hanya menyusahkan kerajaan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, baru-baru ini, dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang melarang penjualan beras putih tempatan kepada warga asing di negara ini.

Terdahulu, Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mengutarakan cadangan berkenaan susulan kenaikan harga makanan ruji itu.

| ARTIKEL BERKAITAN:

Loading...
Terkini