comscore
Tumpuan :
Nasional

Kejadian tanah jerlus jejas usaha pesawah MADA

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli (empat kiri) menyampaikan Bantuan Tanah Jerlus sebanyak RM360,000 kepada Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan MADA Simpang Empat, Abd Rahim Bakar (kiri) pada Majlis Penyampaian Bantuan Tanah Jerlus Bagi Kawasan Mada Wilayah 1, Tahun 2022 di pekarangan PPK MADA Simpang Empat, Perlis. NSTP/Luqman Hakim Zubir

KANGAR: Kerajaan negeri maklum dengan kebimbangan pesawah berikutan kejadian tanah jerlus yang kerap berlaku di bendang di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis boleh menyebabkan hasil tanaman padi terjejas.

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang terjejas antaranya membabitkan kawasan PPK A-1 Arau (81.43 hektar), PPK B-1 Kayang (171.80 hektar), PPK C-1 Kangar (138.24 hektar), PPK D-1 Tambun Tulang (23.0 hektar) dan PPK E-1 Simpang Empat, 171.48 hektar.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata ia kini menjadi permasalahan serius dalam kalangan pesawah yang memerlukan perhatian sewajarnya, terutama Kerajaan Persekutuan bagi memastikan hasil tanaman padi pesawah tidak terjejas.

Katanya, kejadian itu berlaku disebabkan oleh fenomena perubahan iklim tidak menentu yang mana taburan hujan tinggi pada musim kemarau, terutama sekitar Februari dan Mac sehingga menyebabkan berlaku takungan air di kawasan sawah.

Beliau berkata, keadaan itu disusuli dengan tiada tempoh ‘rehat’ pada tanah yang menyebabkan keupayaan galas tanah menjadi rendah dan lembut sehingga mengganggu struktur tanah.

“Keadaan ini sekali gus menyebabkan jentera padi sukar turun ke sawah disebabkan oleh keadaan struktur tanah yang lembut, akhirnya mengakibatkan jentera tersadai di bendang sawah.

“Kegagalan pesawah mematuhi jadual ditetapkan oleh MADA dalam menanam padi juga menjadi faktor fenomena ini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Tanah Jerlus Bagi Kawasan MADA Wilayah 1 Perlis Tahun 2022 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E1 Simpang Empat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad dan Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli.

Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri berharap Kerajaan Persekutuan dapat meluluskan peruntukan bantuan kepada pesawah di negeri ini yang terjejas disebabkan permasalahan itu.

Pada masa sama, beliau berharap pesawah dapat mengikut jadual yang disusun oleh MADA bagi memastikan hasil tanaman mereka tidak terjejas.

Terdahulu, Mohd Shukri menyampaikan bantuan daripada kerajaan Perlis berjumlah RM360,000 secara keseluruhan kepada wakil kepada 627 pesawah MADA dari kawasan PPK Arau, Kayang, Kangar, Tambun Tulang dan Simpang Empat yang terjejas hasil padi mereka akibat fenomena tanah jerlus pada Februari dan Mac lalu.

Bantuan itu berbentuk pembekalan input pertanian produk pemulihan tanah, kawalan serangga perosak dan penggalak pertumbuhan padi.

Loading...
Terkini