Oleh Nurul Amalina Zainudin
PETALING JAYA: Wisma Putra sudah menghubungi Kementerian Luar Thailand bagi memaklumkan kes kehilangan seorang wanita warga Malaysia, Chong Sum Yee, 22, di daerah Mae Sai, wilayah Chiang Rai.
Gadis itu dilapor berlepas ke Chiang Mai 29 Mei lalu dan melakukan perjalanan sejauh 250 kilometer ke daerah utara Mae Sai,
berdekatan dengan bandar Tachilek di Myanmar, di mana kes pemerdagangan manusia pernah dilaporkan.
“Di peringkat kita, kita telah menghubungi kementerian luar sana. Kementerian Luar Thailand juga sudah mengambil tindakan dengan menghubungi pihak keselamatan di sana bagi membantu mengenal pasti kedudukan mangsa,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika ditemui di Parlimen.
Jumaat lalu, ibu Sum Yee, Chee Choy Wen, menerusi Facebook menyuarakan kebimbangan dan membuat laporan polis setelah gagal menghubungi anak perempuannya.
Sum Yee dikatakan masih berhubung dengan keluarganya ketika berada di Thailand dengan kali terakhir mangsa dapat dihubungi pada jam 10.30 pagi (waktu tempatan), 1 Jun lalu.
Sementara itu, polis Thailand dilaporkan sedang mempergiat usaha mengesan wanita Malaysia yang hilang itu termasuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa Myanmar.