ALOR SETAR: Polis mengesahkan memperoleh petunjuk baharu bagi membantu siasatan kes guru lelaki yang dilaporkan hilang di Pusat Rekreasi Sedim di Kulim sejak 10 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, berdasarkan maklumat diterima, guru terbabit Mohd Hafiz Jasmi, 38, dilihat saksi keluar dari kawasan rekreasi itu dengan menaiki sebuah kereta lain.
Menurutnya, berikutan itu orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung guru berkenaan boleh memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan sehingga ke puncak Gunung Bintang sebelum ini dihentikan selepas pencarian ke atas mangsa dilakukan selama lima hari kerana tiada petunjuk.
“Malah, kereta Proton Saga milik mangsa ditemui di kawasan itu juga dalam keadaan baik dan berkunci,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan guru lelaki dipercayai hilang dalam hutan di pusat rekreasi Sedim di Kulim.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Operasi cari Ustaz Hafiz masuk hari ke-4
- Usaha mencari Ustaz Mohd Hafiz, tiada petunjuk baru ditemui – Bomba
- Kehilangan ustaz Hafiz: Tiada petunjuk baharu, operasi SAR diperluas
- Tiada petunjuk baharu, operasi cari Ustaz Hafiz ditamatkan