comscore
Tumpuan :
Nasional

Kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 akan diklafikasi sebagai laporan terbuka

 

Kapal Kargo Mv Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang dengan kedudukan terakhirnya dikesan di perairan Indonesia

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sedang meneliti laporan siasatan berhubung kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06, sebelum ia dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diklasifikasikannya sebagai laporan terbuka.

Menterinya, Anthony Loke, berkata laporan siasatan berhubung MV Dai Cat 06 yang hilang sejak 9 Januari itu, sudah diperoleh daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) bagi penelitian pada peringkat kementerian.

Beliau berkata, Malaysia tidak pernah mengabaikan operasi mencari dan menyelamat (SAR), malah pihak berkuasa juga sudah menghubungi Indonesia bagi kerjasama dalam aspek berkenaan berikutan kapal itu hilang di perairan negara terbabit.

“Dari segi operasi SAR, ia berada di bawah pihak berkuasa Indonesia, sudah tentu Wisma Putra ada berhubung dengan negara itu.

“Operasi SAR adalah di bawah bidang kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), namun JLM sedia bekerjasama untuk memastikan operasi SAR diteruskan.

“Kita tidak pernah menyatakan kita mengabaikan operasi SAR dan mengarahkan JLM memantau serius serta memastikan misi mencari kapal ini diteruskan,” katanya pada sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang mahu tahu sejauh mana kerjasama dengan kerajaan Indonesia setakat ini bagi mengenal pasti punca kejadian.

Pada masa sama, Anthony berkata, siasatan menyeluruh yang diadakan itu, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan melaksanakan tindakan wajar berdasarkan penemuan jawatankuasa siasatan.

Katanya, sebelum ini, JLM sudah menubuhkan jawatankuasa siasatan pada 20 Januari lalu dengan tumpuan siasatan menjurus kepada keselamatan pelayaran dan keselamatan kapal; pengumpulan fakta, mengemukakan penemuan serta cadangan tindakan seperti kompaun.

“Laporan itu dikemukakan dalam masa 30 hari daripada tarikh penubuhan jawatankuasa siasatan itu pada 20 Januari lalu,” katanya.

Anthony berkata, berdasarkan semakan dibuat pihaknya mendapati kapal berkenaan tiba di Lumut pada 19 Disember lalu, jam 12.30 tengah hari dan memulakan operasi memunggah masuk kargo bermula jam 3.43 petang pada hari sama.

Katanya, turut dilaporkan kapal itu juga melaksanakan kerja penyelenggaraan kepada peralatan navigasi dan komunikasi seperti radar di Jeti ICP Lumut yang mana operasi memunggah kargo selesai pada 22 Disember lalu.

“Posisi terakhir kapal MV Dai Cat 06 dikesan melalui pemantauan sistem pengesanan automatik (AIS) adalah pada 1 Januari lalu iaitu di sektor 9 ‘Traffic Separation Scheme’ (TSS) sekitar Pulau Mungging, Johor.

“Selain itu, kedudukan terakhir kapal itu yang diterima melalui isyarat kecemasan ’emergency position indicating radio beacon’ (EPIRB) daripada Maritim Malaysia dikesan di perairan Indonesia,” katanya.

Loading...
Terkini