comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PDRM: Keharmonian dalam pasukan tingkatkan reputasi dan integriti – KPN

Oleh: Siti Khadijah Jaafar & Ing Boon Seng

KUALA LUMPUR: Sejak memegang jawatan tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jun lalu, gandingan Tan Sri Razarudin Husain dan timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay disifatkan mantap dan ideal untuk menerajui Sang Saka Biru.

Pemilihan kedua-dua figura yang mempunyai kualiti kepimpinan itu juga diakui berjaya meningkatkan reputasi PDRM, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat selain membaiki imej pasukan yang pernah tercemar.

Dalam satu wawancara khas di Bukit Aman baru-baru ini, Tan Sri Razarudin berkata, kredibiliti dan karisma beliau bersama Datuk Seri Ayob diharap menjadi contoh serta dibudayakan semua anggota.

Ini kerana integriti yang utuh akan menjadi benteng daripada kemungkaran, sekali gus mengecil dan menutup ruang rasuah mahupun salah guna kuasa.

Setiap warga PDRM juga katanya, diingatkan supaya memelihara kerjaya sebaiknya dan tidak menggadai maruah diri dan terlibat dengan jenayah.

Sebagai pemimpin nombor satu pasukan, beliau juga mementingkan keharmonian dan pimpinan melalui teladan yang wajar ditunjukkan, bermula dengan pegawai atasan sehingga kepada anggota bawahan.

“Kalaulah wujudnya keharmonian ini Datuk Seri sebenarnya saya tak perlu lagi nak bising-bising keharmonian ni dah ada saya tak perlu lagi nak bercakap nak ketuk mejakah apa, tak perlu. Pasal semua tanggungjawab, bila berlakunya keharmonian dalam pasukan ini, secara automatik tanggungjawab Pegawai Pengarah KP OCPD ini akan timbul,” katanya kepada Buletin TV3.

Apa yang penting, keupayaan pasukan menangani dan mencegah jenayah berada di tahap tertinggi, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap jaminan keselamatan.

Sepanjang tempoh lapan bulan tahun ini juga, jenayah indeks berjaya diturunkan sebanyak 40 peratus.

“Fear factor yang ada terlekat di masyarakat itu di bawah itu lagi penting daripada penurunan ini. Katalah meningkat satulah peningkatan jenayah 1 peratus tapi fear factor dia kita tengok ada 30 peratus je kita lebih ambik fear factor daripada peningkatan,” katanya.

Malah, komitmen anak buahnya juga dibuktikan dengan pelbagai kejayaan operasi dan tangkapan.

Op Kontraban misalnya, telah memberkas 46 orang dengan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM51 juta, manakala Op Dadu dan Op Noda merekod lebih 2,800 tangkapan.

Turut melakar kejayaan, usaha membanteras dadah apabila tumpasnya sembilan sindiket dengan nilai rampasan lebih RM114 juta.

Sepanjang tempoh sama juga, 605,503 saman trafik dikeluarkan dengan 1,042 ditahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Setiap kes jenayah yang dilaporkan tegasnya, perlu disiasat secara terperinci sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Loading...
Terkini