Tumpuan :
Nasional

Kehadiran ular tedung senduk kejutkan sukarelawan sedang cuci rumah

Ahli sukarelawan pertubuhan NGO Betis Karat (kiri), yang berjaya menangkap ular tedung senduk. -FOTO: NGO Betis Karat

BESUT: Kerja-kerja pembersihan di sebuah rumah mangsa banjir Kampung Awek, Darau di sini, kelmarin, ‘terhenti seketika’ dengan kehadiran seekor ular tedung senduk yang terjatuh dari bekas simpanan beras yang ada di bawah meja.

Salah seorang sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Betis Karat, Fadzil Zabidee Zakaria, 51, berkata, kejadian itu ketika mereka melakukan kerja-kerja membersihkan bahagian dapur rumah mangsa banjir sebelum dikejutkan dengan kehadiran reptilia berbisa itu, jam 11 pagi.

“Ketika salah seorang daripada kami menyembur air menggunakan ‘water jet’ untuk membersihkan lumpur, ular itu tiba-tiba jatuh di atas lantai.

“Sebelum itu, kami tidak perasan kehadiran ular berkenaan kerana ia bersembunyi dan berlingkar di atas dulang berwarna hitam yang ada di tong beras bawah meja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ular itu berkemungkinan sudah mengeluarkan bunyi ketika kerja-kerja menyembur air dilakukan tetapi tidak didengari oleh mereka disebabkan bunyi bising ‘water jet’.

“Nasib baik sukarelawan yang jumpa ular itu tidak panik dan biasa menangkap ular berbisa itu menggunakan kayu serta tali untuk menjerut ular yang dianggarkan sepanjang 1.8 meter sebelum dibawa keluar dari rumah berkenaan,” katanya.

Fadzil Zabidee berkata, mereka mula melakukan kerja-kerja mencuci rumah sejak Isnin lalu, dengan bergotong-royong membersihkan kediaman penduduk yang terjejas di Kampung Awek Darau, kawasan Felda Tenang, Kampung Darau, Kampung Jerebun dan Kampung Darau.

Beliau berkata, usaha itu membabitkan 12 sukarelawan.

Katanya, sepanjang musim banjir di daerah ini, pihaknya turut terbabit melakukan kerja sukarelawan memasak makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Pada Jumaat ini, kami bersama beberapa pihak lain akan bergotong-royong membina satu jambatan di Kampung Keruak, Hulu Besut, yang rosak akibat arus sungai deras ketika banjir,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini