MELAKA: Kehadiran pelbagai kaum pada penganjuran rumah terbuka Aidilfitri pemimpin tempatan membuktikan perpaduan di negeri ini semakin kukuh.
EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka Datuk Rais Yasin berkata ia secara tidak langsung merealisasikan konsep Malaysia Madani di peringkat negeri ini.
“Rumah terbuka Aidilfitri memang untuk perpaduan kaum dan dengan semangat Malaysia Madani yang diterapkan di peringkat pusat, kini ia diterjemahkan di peringkat negeri pula.
“Jadi saya menjangkakan setiap rumah terbuka Aidilfitri EXCO atau pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan lebih meriah tahun ini dengan suasana harmoni kepelbagaian kaum,” katanya kepada media di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjurannya di Kompleks Sukan Komuniti Krubong di sini hari ini.
Turut hadir Yang Di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam, diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta barisan kepimpinan negeri.
Majlis yang bermula 10 pagi itu dihadiri lebih 10,000 tetamu terutama penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput. – BERNAMA