Tumpuan :
Dunia Seni

Kehadiran IShowSpeed cetus suasana riuh di Kuala Lumpur

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Kehadiran pempengaruh terkenal antarabangsa, IShowSpeed di ibu negara, hari ini menarik perhatian orang ramai khususnya peminat yang terdiri daripada golongan belia.

Menerusi siaran langsung di laman platform YouTube, pempengaruh dari Amerika Syarikat itu memulakan aktiviti berjalan kaki di Jalan Petaling dan sempat mencuba makanan antaranya Nasi Lemak dan Apam Balik yang diberikan oleh penjual di kaki lima.

IShowSpeed atau nama sebenarnya Darren Jason Watkins Jr. turut ke pusat membeli belah di KLCC dan disambut peminat yang mengerumuninya bagi mendapatkan swafoto dan tandatangan pempengaruh itu.

Menerusi siaran langsung itu, IShowSpeed turut menasihatkan peminatnya untuk bersabar, bertenang serta menjaga tingkah laku supaya tidak mencetuskan sebarang kekecohan.

Ia berikutan ada dalam kalangan peminat yang mula menerjah serta menolak antara satu sama lain sambil menjerit namanya, selain menghalang pempengaruh itu untuk bersiar-siar sekitar ibu negara.

Berdasarkan pemerhatian Buletin TV3, siaran langsung itu turut memaparkan orang ramai mengekori kenderaannya yang menuju ke sebuah lagi pusat membeli belah di Bukit Bintang.

Ada juga segelintir peminat yang berjalan kaki bertindak mengetuk tingkap kenderaan dinaikinya untuk memberi pelbagai hadiah, termasuk baju batik.

Sebelum ini media melaporkan, IShowSpeed akan memulakan IRL streaming tour di negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina, Indonesia, Thailand dan Singapura bermula September ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini