comscore
Tumpuan :
Nasional

Kehadiran buaya air masin cetus kebimbangan penduduk

KEMAMAN: Penduduk dan peniaga di sekitar Kuala Kerteh di sini, kini bimbang akan kehadiran seekor buaya air masin yang dilihat berada di kawasan pantai tersebut sejak Isnin lalu.

Kehadiran reptilia itu dilihat boleh mendatangkan bahaya khususnya kepada pengunjung kerana pantai tersebut sering menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah dan berkelah.

Menurut penduduk, kehadiran buaya air masin terbabit adalah yang pertama kali kerana sebelum ini mereka tidak pernah lagi melihat reptilia itu berada di sekitar kawasan tersebut.

Dakwa penduduk, pada mulanya mereka menyangka objek yang terapung sebelum ini adalah batang kayu namun keesokannya mereka terkejut apabila melihat buaya terbabit mula menghampiri kawasan pantai.

Apa yang dibimbangi mereka ialah risiko akan diserang oleh reptilia terbabit terutamanya kanak – kanak.

“Bahaya, memang bahaya, dalam masa sejam, dia bergerak, bergerak, sampai ke hujung tanjong, lepas maghrib tidak nampak mana dia pergi.

“Kiranya sudah dua hari dah, kelmarin betul – betul sahih, kelmarin dulu, kita ingatkan kayu, timbul tenggelam,” kata peniaga, Nor Azah Aziz yang ditemui Buletin TV3.

Perkara sama turut disuarakan seorang penduduk Che Ku Daniel Hafiz Che Ku Ahmad Zamri yang mahu pihak berkuasa segera bertindak.

“Buaya memang bahaya lah, dia kan binatang buaskan, takut dia makan orang ke,” katanya.

Susulan dari kejadian itu, pantai tersebut kini menjadi lengang kerana pengunjung bimbang akan diserang oleh haiwan tersebut.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi memberitahu buaya tersebut berkemungkinan merupakan buaya yang sama ditemui oleh sekumpulan nelayan di kawasan Kijal sebelum ini.

Katanya, Perhilitan daerah sudahpun melakukan pemantauan sejak dari semalam namun kelibat reptilia terbabit tidak kelihatan .

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti di pantai bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku.

Loading...
Terkini