Tumpuan :
Nasional

Kegiatan sindiket Timur Tengah buru gaharu, hidupan liar terbongkar

Warga yang ditahan susulan operasi dilakukan Perhilitan di Sungai Buloh, Selangor. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Aktiviti jenayah sindiket Timur Tengah membabitkan warga Yaman dan Syria yang masuk ke negara ini bagi memburu kayu gaharu dan hidupan liar dilindungi, terbongkar.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kejayaan itu adalah hasil operasi Bersepadu Khazanah disertai enam pegawai Wildlife Crime Unit (WCU) PERHILITAN, 10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 12 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

“Operasi dan serbuan membabitkan tiga premis di Sungai Buloh, Selangor bermula jam 9 malam kelmarin.

“Dalam serbuan pertama di sebuah kediaman di Kampung Paya Jaras, pihak kami menahan empat lelaki membabitkan dua lelaki tempatan serta dua lelaki warga Syria dan Yaman.

“Hasil pemeriksaan menemui seguni habuk kayu, tujuh plastik berisi bongkah kayu gaharu, dua pengikir, penimbang dan sebuah kenderaan pelbagai guna serta sebuah kenderaan,” katanya.

Antara yang dirampas. – FOTO: NSTP

Menurutnya, serbuan kedua dilakukan di sebuah premis di Kampung Paya Jaras sebelum seorang lelaki berusia 50-an diberkas.

“Hasil pemeriksaan di kediaman itu menemui dua bongkah kayu gaharu, batu asah, tiga gergaji berantai dan 10 pengikir.

“Serbuan seterusnya dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah di sini, sebelum seorang perempuan warga Kemboja diberkas.

“Pemeriksaan lanjut di kediaman itu menemui tiga guni habuk kayu, enam batang bongkah kayu gaharu, satu guni bongkah kayu saiz kecil dan dua batang kapak,” katanya.

Kadir berkata, pegawai PERHILITAN yang melakukan pemeriksaan turut menemui bakul plastik mengandungi sisik tenggiling, bekas berisi tulang hidupan liar, batu landak selain bahagian hidupan liar.

“Turut ditemui taring hidupan liar, 15 taring babi hutan, tulang hidupan liar dan dua bahagian hidupan diisi di dalam plastik.

Semua haiwan liar itu dipercayai diburu secara haram oleh sindiket yang menjalankan kegiatan mencuri kayu gaharu di dalam hutan negara ini.

“Penjenayah dipercayai memperolehi keuntungan melalui penjualan haram kayu gaharu selain turut menjual trofi atau bahagian hidupan liar dilindungi untuk pasaran gelap,” katanya.

Menurutnya, semua kayu gaharu dirampas dianggarkan bernilai lebih RM460,000 manakala bahagian hidupan liar dirampas bernilai sekitar hampir RM300,000.

“Semua suspek yang diberkas dibawa ke Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini