Oleh Azri Mukhlas
MAKKAH: Kegembiraan berganda menyelubungi adik Nur Saffiyah Nasuha Ramlan, 18, di Tanah Suci Makkah apabila dia berjaya memperoleh keputusan 8A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia SPM yang diumumkan hari ini selain dapat menunaikan haji dalam usia muda.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist, Raub ini juga mengakui tidak menyangka akan muncul pelajar cemerlang di sekolahnya.
Kegembiraan berganda menyelubungi adik Nur Saffiyah Nasuha Ramlan, 18, di Tanah Suci Makkah apabila dia berjaya memperoleh keputusan 8A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia SPM yang diumumkan hari ini selain dapat menunaikan haji dalam usia muda. pic.twitter.com/hEMwGwnoNN
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) June 8, 2023
Ketika ditemui semalam di bangunan penginapannya di Land Premium, Nur Saffiyah mengakui agak gementar untuk mengambil keputusan hari ini.
Namun, segalanya bertukar ceria apabila dia menyemak keputusannya secara atas talian selepas selesai solat Subuh di Masjidil Haram dan menerima panggilan telefon dari ibu bapanya di tanah air yang hadir ke sekolah untuk mengambil keputusan bagi pihaknya.
Nur Saffiyah berada di Tanah Suci Makkah untuk menunaikan haji bersama empat kakak-kakaknya dan seorang abang ipar.
Sambil mengucapkan syukur, Nur Saffiyah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada guru-guru, adik beradik dan ibu bapanya yang selalu menyokongnya selama ini.
Nur Saffiyah juga berharap dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia UIAM dalam jurusan Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan.