Oleh: Fareez Azman & Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan meskipun Malaysia hanya negara kecil, namun akan terus bersuara menentang keganasan rejim zionis di Gaza.
Jelasnya, sentimen kebencian terhadap Islam dan Arab itu keterlaluan sehingga menyebabkan puluhan ribu rakyat tidak berdosa terkorban.
“Balik kepada soal Gaza ini kerana sentimen kaum dan kebencian terhadap Islam dan Arab itu keterlaluan. Kita negara kecil bukan maksud kita mampu perang dengan sesiapa tapi kita manusia, kita ada nilai kemanusiaan.
“Orang dibunuh harian, paling tidak kita bersuara itu yang mampu,” jelasnya ketika disoal mengenai situasi di Gaza dalam Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) di sini hari ini.
Tambah Anwar, isu kemanusiaan di Gaza bukan disebabkan soal keturunan, tetapi soal kezaliman yang terus memuncak dalam era tamadun manusia moden.
“Kalau ada kefahaman betul tidak jadi cetek, bebal sepertimana sekarang dalam soal Gaza tanpa kira keturunan Yahudi atau Arab, kezaliman tetap kezaliman.
“Yang kita bantah bagaimana manusia tamadun sekarang 2024 segala kecanggihan ilmu masih mengizinkan kezaliman dan kita tidak berdaya buat apa-apa,” katanya lagi.
Turut hadir dalam program itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.