Oleh: Ahmad Kamarulzaman Hamid
KUALA LUMPUR: Sering menghiasi akuarium sebagai ‘tukang bersih’, pasti ramai yang tidak menyangka ikan tombot atau lebih popular dipanggil ikan bandaraya boleh dimakan dan enak pula rasanya.
Menurut pencipta kandungan YouTube yang juga peserta akhir MasterChef Malaysia musim kedua, Muhd Fazrul Nizam Anas Anizan, ikan bandaraya selamat untuk dimakan dan sedap rasanya.
“Kalau kita tengok bentuk fizikal dan tempat tinggalnya, orang akan takut. Tapi pada hakikat yang sebenarnya, rasa ikan ni sedap.”
Menurutnya lagi, orang ramai tidak perlu ragu mengenai persoalan ikan bandaraya selamat atau tidak dimakan kerana dia sendiri sudah mendapatkan kepastian mengenai perkara itu melalui ujian makmal.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Pemburu ‘telur emas’ jana RM2,000 seminggu
“Kita hantar sampel ikan ini untuk ujian makmal. Kalau tidak silap saya, lebih 40 tempat kami hantar dan semua keputusan menunjukkan positif, ikan bandaraya selamat dimakan dan kandungan merkurinya jauh lebih rendah daripada ikan tilapia dan keli.”
Mengulas lanjut mengenai cetusan idea untuk menghasilkan hidangan daripada ikan ini, Fazrul berkata dia telah mencuba lebih daripada 30 menu yang dikira sesuai dengan tekstur dan rasa isi ikan tersebut.
“Kalau kita masak ikan ini dengan menunjukkan bentuk fizikalnya yang ‘menggerunkan’, orang tidak mahu makan. Jadi, saya masak (tempura) tanpa tunjuk bentuk fizikal dan bagi rakan-rakan rasa, masing-masing memberikan ulasan positif.
“Rasa ikan ini sedap sebenarnya, cuma kita sering dimomokkan dengan perkara tidak betul antaranya bentuk fizikalnya yang ‘menyeramkan’ dan diet yang dianggap kotor. Selama tiga tahun saya makan, tidak pernah saya kena cirit-birit atau keracunan makanan.”
Biarpun teruja menikmati keenakan ikan ini, Fazrul tetap menyatakan kebimbangannya terhadap populasi ikan bandaraya yang kian mendominasi perairan umum termasuk sungai dan air terjun di negara ini.
“Populasi ikan bandaraya dalam sungai-sungai di Lembah Klang boleh dikatakan kritikal, terlalu banyak. Di sungai-sungai air terjun (bersumber air bukit) yang jernih pun boleh jumpa ikan ini.”
Ikan bandaraya atau nama saintifiknya hypostomus plecostomus adalah ikan air tawar tropika yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan yang diimport ke Malaysia sebagai ikan hiasan, khusus untuk membersihkan persekitaran akuarium domestik.
Pelepasannya ke perairan umum seperti sungai-sungai di negara ini menyebabkan gangguan ekosistem berikutan sifatnya yang menjadi pemangsa kepada larva ikan dan memakan tumbuhan akuatik yang sepatutnya menjadi habitat pembiakan ikan air tawar tempatan.
Kebanjiran populasi ikan bandaraya ini dikhuatiri akan merosakkan habitat perikanan, persekitaran akuatik dan biodiversiti ikan air tawar sekaligus memberi kesan kepada nelayan air tawar di negara ini sekiranya tidak dibendung.