comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedudukan rumah terlalu rapat cabaran bomba selamatkan mangsa banjir Temerloh

Pemandangan dari atas banjir yang melanda kawasan Kampung Gajah Mati dan Kampung Batu Kapor, Mentakab, Temerloh, Rabu lalu.

KUANTAN: Kedudukan rumah terlalu rapat antara cabaran yang dilalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir di Temerloh.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata selain itu, pihaknya terpaksa berhadapan dengan jalan tidak sekata selain halangan pelbagai objek di air.

“Cabaran yang kita hadapi bila menyelamat di kawasan pedalaman atau kampung kebiasaannya ialah kedudukan kediaman terlalu rapat menyebabkan bot sukar nak lalu dan melepasi antara rumah.

“Antara risiko lain semasa pemanduan ialah bot tak nampak objek seperti kedudukan pagar rumah yang tenggelam atau pokok tumbang, malah jalan di kawasan taman atau kampung biasanya ada tenggelam dan timbul, itu juga antara kesukaran yang perlu dihadapi bomba,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ismail yang ditemui selepas JBPM Pahang melakukan ujian aset dan kelengkapan marin di Sungai Kuantan di sini, turut memaklumkan bagi menghadapi cabaran berkenaan pihaknya menggerakkan anggota yang sudah mahir dengan kawasan yang dilanda banjir itu.

“Pengalaman ini sangat penting dan kajian risiko juga main peranan bagi memastikan kerja menyelamat dilaksanakan dengan selamat selain cepat dan mudah,” katanya.

Setakat 12.20 tengah hari, sebanyak 1,616 mangsa banjir daripada 483 keluarga masih berlindung di lapan pusat pemindahan sementara di Temerloh.

Mengulas lanjut, beliau berkata JBPM Pahang mempunyai pemandu bot yang terlatih dengan mereka menjalankan latihan secara berkala bagi memastikan kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan sebarang situasi terutama ketika monsun timur laut (MTL) yang diramalkan bermula bulan depan.

Ismail berkata latihan yang dijalankan melibatkan tatacara menyelamatkan mangsa dalam keadaan arus deras serta berombak selain teknik pemanduan bot.

Sementara itu, beliau berkata 99 peratus aset JBPM Pahang berada dalam keadaan baik untuk beroperasi ketika MTL dengan lebih 1,000 anggota yang akan terlibat. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini