comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedudukan Malaysia tidak terdedah risiko mudarat – Pakar

Foto hiasan / Reuters

Oleh : Aslina Abu Bakar

PETALING JAYA: Orang ramai diingatkan tidak perlu panik dengan tindakan Jepun melepaskan air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik tengah hari semalam.

Pakar Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Prof Dr Faizal Kunchi Mohamed ketika dihubungi Buletin TV3 berkata, air yang dilepaskan itu sudah ditapis dan hanya mengandungi bahan radioaktif yang bersifat sangat lemah dan tidak akan meningkatkan risiko kanser.

Menurutnya, kedudukan Malaysia juga tidak memungkinkan ia terdedah kepada risiko daripada bahan buangan itu.

“Tritium ini adalah bahan radioaktif lemah dan ia juga terkandung dalam sumber air biasa yang di minum seperti air mineral dan mungkin juga air kumbahan dan sebagainya.”

“Dari segi geografi Malaysia dan Jepun tidak dekat. Pencairan demi pencairan boleh berlaku sebelum bahan itu sampai ke lautan kita,” katanya.

Jelasnya, yang penting pihak berkuasa perlu melakukan pemantauan berterusan dan mengkaji kandungan tritium dalam air laut di perairan negara dari masa ke masa.

“Selain itu,  pada waktu sama orang ramai boleh terus melihat bagaimana hal ini diuruskan pihak berwajib seperti  Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan sentiasa peka dengan segala perkembangan terkini daripada pihak Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah Jepun melepaskan air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.

IAEA sebuah badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai lalu menyatakan langkah oleh Jepun itu mematuhi piawaian antarabangsa, selain menjelaskan kesannya terhadap manusia dan alam sekitar adalah ‘sedikit’.

Artikel berkaitan : Atom Malaysia pantau peningkatan aras keradioaktifan air laut

Loading...
Terkini