comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedudukan Malaysia sebagai negara biodiversiti mega melonjak menerusi ‘nafas baharu’ Paya Indah Wetlands

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kedudukan Malaysia sebagai negara biodiversiti mega (megadiverse) dengan kekayaan ekosistem tanah lembap terus melonjak menerusi Perjanjian Operasi dan Pengurusan Tanah Rizab Paya Indah Wetlands (PIW) yang terletak di Dengkil, Selangor.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui tanah lembap mempunyai nilai ekonomi dalam bentuk hasil hutan, laut dan ekopelancongan.

“Malah (tanah lembap) juga menyediakan perkhidmatan ekosistem seperti perlindungan daripada angin kencang dan gelombang besar, kawasan tadahan air, kawalan banjir dan penyimpanan karbon,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Operasi dan Pengurusan Tanah Rizab PIW, di sini hari ini, yang turut disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Perjanjian secara tiga pihak (tripartite) itu melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mewakili Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan Discovery Wetlands Sdn Bhd (DWSB) iaitu anak syarikat kepada Gamuda Land.

Perjanjian yang akan berkuat kuasa sehingga 31 Julai 2037 ditandatangani oleh Ketua Setiausaha NRES, Dr Ching Thoo Kim, Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Selangor, Datuk Johary Anuar dan Pengarah Eksekutif Gamuda Land, Datuk Abdul Sahak Safi.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, pihak DWSB akan mengambil alih aspek operasi dan pengurusan PIW.

Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung pula memfokus kepada program konservasi hidupan liar manakala Kerajaan Negeri Selangor kekal sebagai pemilik tanah PIW.

“Kerjasama strategik ini adalah selari dengan Tindakan 7.1, Dasar Kepelbagaian Biodiversiti Kebangsaan 2022-2030 dari aspek menggalakkan pembangunan pelancongan yang menyokong pemuliharaan biodiversiti dengan memudah cara pelaburan dan konsesi ke arah pembangunan ekopelancongan yang bertanggungjawab dan lestari.

“Usahasama ini adalah satu model kerjasama strategik di antara pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta dalam memajukan sektor ekopelancongan di samping memelihara dan memulihara kekayaan biodiversiti negara,” katanya.

Sementara itu, Amirudin percaya kolaborasi PIW akan menjamin kemampanan alam sekitar selain menjadi tempat pembelajaran secara langsung kepada pelajar dan mahasiswa.

“Selain itu ada juga aktiviti-aktiviti rekreasi yang dijalankan di sana seperti aktiviti berkuda dan sebagainya yang masih diteruskan sehingga kini.

“Tempat tersebut juga berpotensi untuk dikembangkan bagi aktiviti rekreasi dan juga sukan lasak tertentu yang boleh dikembangkan pada hari ini dan pada masa depan,” katanya.

Berkeluasan 450.76 hektar, PIW telah diwartakan sebagai tapak perlindungan tanah lembap di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara pada 17 Februari 1998 oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Ia juga kaya dengan pelbagai kekayaan khazanah biodiversiti antaranya 235 spesies burung, 63 spesies mamalia, 20 spesies reptilia dan hampir 220 jenis tumbuhan serta herba.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini