Tumpuan :
Nasional

Kedudukan ASEAN semakin kukuh di pentas global

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) mempengerusikan Mesyuarat ASEAN 2025 di Langkawi International Convention Centre.

LANGKAWI: Rantau ASEAN akan kekal menjadi tumpuan kuasa besar berikutan potensi luar biasa dan kedudukan strategiknya yang dilihat penting kepada dunia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pihak luar melihat kepelbagaian budaya setiap negara dan kekuatan ekonomi secara bersama mampu menjadikan ASEAN sebagai rantau penting.

Bagi memastikan ketegangan tidak berlaku, katanya, pemimpin ASEAN perlu meningkatkan kerjasama dan terbabit dalam perbincangan berterusan secara diplomatik dan berfikiran terbuka.

“Satu persoalan yang sering ditanya adalah berkaitan kepemimpinan baharu di Amerika Syarikat (AS) dan bagaimana ia memberi kesan dinamik kepada rantau ini pada masa hadapan.

“Rantau ASEAN kini menjadi medan persaingan sengit kuasa besar. Ia berlaku kerana kita mempunyai potensi luar biasa, memiliki kedudukan geostrategik yang sangat penting, kepelbagaian budaya dan kekuatan ekonomi bersama.

“Perkara ini jelas dapat dilihat, maka kita berharap pemimpin negara ASEAN berperanan melalui pendekatan berbincang secara diplomatik dan berfikiran terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Luar ASEAN dan pegawai kanan negara serantau.

Mohamad berkata, ASEAN secara bersama menjadi kuasa ekonomi kelima terbesar dunia melalui 677 juta penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah AS$3.8 trilion (RM17.12 trilion).

“Kita kini berada pada 2025, selepas dekad yang bermula dengan penuh cabaran seperti pandemik, konflik, bencana alam, revolusi teknologi, dan kejutan ekonomi.

“Gangguan global ini bukan keadaan sementara, ia adalah norma baharu yang menunjukkan kerapuhan sistem global.

“Kita perlu berpandangan jauh dan merancang bukan hanya untuk tempoh 12 bulan, tetapi untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, ASEAN merangka hala tuju untuk rantau ini bagi tempoh 20 tahun akan datang melalui pelan Visi Komuniti ASEAN 2045.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini