Tumpuan :
Nasional

Kediaman rasmi MB Kedah dinaik air

Kediaman rasmi Menteri Besar Kedah banjir akibat limpahan Sungai Anak Bukit. FOTO: Zulkifli Yahaya / Facebook

ALOR SETAR: Bencana banjir di negeri ini turut menyebabkan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon ditenggelami air.

Pegawai Khas Media Menteri Besar, Helmi Khalid berkata, ia kesan daripada limpahan Sungai Anak Bukit yang terletak di belakang Seri Mentaloon.

“Air melimpah dari sungai di belakang kediaman rasmi sejak awal pagi tadi (hari ini) dan mula memasuki kuarters kediaman kakitangan yang terletak tidak jauh di tepi sungai.

“Paras air kemudiannya terus meningkat hingga memasuki ruang tamu, dapur dan ruang makan kediaman rasmi. Setakat ini paras air di dapur mencecah 0.5 meter,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, malam ini.

Helmi berkata, ketika ini Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama keluarganya masih menginap di kediaman dua tingkat itu.

Katanya, limpahan air tidak menjejaskan surau, Dewan Melur dan Dewan Seri Mentaloon yang terletak di pekarangan kediaman rasmi itu.

“Ini bukanlah kali pertama Seri Mentaloon dinaiki air kerana banjir turut pernah berlaku di situ dalam kejadian bah besar 2010.

“Banjir pada September lalu juga menyebabkan air masuk ke kediaman rasmi, namun kali ini keadaannya lebih teruk,” katanya.

Untuk rekod, kediaman rasmi tersebut terletak kurang 100 meter dari tebing Sungai Anak Bukit.

Sementara itu tinjauan di kawasan berhampiran mendapati penduduk mula meletakkan kenderaan di tepi jalan utama berikutan banjir, malah jalan utama turut terjejas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini