PONTIAN: Saudara mara, sahabat handai jauh dan dekat menziarahi jenazah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di kediaman ibunya di Kampung Serkat, Tanjung Piai, di sini, seawal jam 7 pagi.
Antaranya ialah Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tiba pada 7.20 pagi.
Artikel berkaitan: Pengebumian jenazah Allahyarham Salahuddin jam 12 tengah hari
Ini diikuti Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Kediaman ibu Salahuddin terus dikunjungi ahli keluarga dan sahabat handai. pic.twitter.com/5bR9E9AfJj
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 24, 2023
Ahli keluarga terdekat turut berada di kediaman itu sejak dinihari.
Terdahulu, jenazah Ahli Parlimen Pulai itu tiba di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, kira-kira 2.30 pagi ini.
Jenazah Allahyarham yang diiringi isterinya, Datin Seri Fatimah Taha serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, tiba di rumah ibunya Aminah Abdullah, 83, pukul 3.35 pagi.
Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam tadi setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Artikel berkaitan: Ciapan terakhir tinggalkan kenangan manis buat rakyat
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dalam catatan di laman Facebooknya hari ini, merakamkan rasa sedih dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga atas pemergian Allahyarham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram.
“Saya mendoakan rohnya dirahmati Allah dan dimasukkan ke dalam Syurga Allah. Beliau adalah sahabat perjuangan sejak sekian lama.
“Dalam politik kami berlawan tetapi tidak bermusuh. Beliau beberapa kali berkunjung ke pejabat saya jika Dewan Negeri Johor bersidang. Ya Allah kau ampunilah dosa-dosanya,” kata ADUN Rengit itu.