comscore
Tumpuan :
Nasional

Kediaman Hamzah diserbu LHDN

KUALA LUMPUR: Kediaman Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin digeledah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kelmarin.

Menurut sumber, serbuan oleh sepasukan pegawai dilakukan pada 11 pagi di kediamannya yang terletak di Damansara, di sini.

“Ketika serbuan, Ahli Parlimen Larut itu berada di rumah.

“Tindakan itu dibuat susulan dakwaan terdapat cukai yang tidak dilaporkan,” katanya.

Terdahulu sebuah portal melaporkan, penguat kuasa LHDN merampas beberapa fail termasuk dokumen pemilikan aset dan akaun.

Pada Mei lalu, Hamzah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung satu kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Dalam kenyataannya, Hamzah menjelaskan keterangan itu dibuat susulan pertuduhan ke atas ahli perniagaan, Sim Choo Thiam di mahkamah.

Hamzah dilapor berkata, kes pertuduhan di mahkamah membabitkan ahli perniagaan itu yang turut mengheret namanya, jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu, SPRM dalam kenyataan menegaskan siasatan yang dijalankan bukan bertujuan untuk menekan individu tertentu disebabkan faktor politik.

SPRM memaklumkan, tindakan sama ada ketika proses siasatan atau selepas pertuduhan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan prinsip bebas, telus dan profesional.

Loading...
Terkini