comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedai terbakar, peniaga rugi RM50,000

Foto: Zuhainy Zulkiffli.

GEORGE TOWN: “Kerugian dianggarkan sebanyak RM50,000 namun, saya bersyukur kejadian kebakaran ini tidak membabitkan kemalangan jiwa.

“Kedai makanan dan minuman di astaka ini memang menjadi tumpuan pengunjung terutama pada waktu makan tengahari dan ketika kejadian, ia belum dibuka,” kata Mohd Fauzi Nasir, 35, yang mengusahakan dua kedai makan di astaka berkenaan.

Ia antara lapan kedai yang terbabit dalam kebakaran di astaka itu kira-kira jam 7.15 pagi, hari ini.

Katanya, dia mengetahui mengenai kebakaran itu daripada kenalan yang menghubunginya pada jam 7.20 pagi.

“Saya sedang memasak ketika itu dan terkejut ketika dihubungi kenalan mengatakan bahawa kedai makan terbakar.

“Saya terus bergegas ke tempat kejadian namun mendapati tiada apa yang boleh dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Difahamkan astaka berusia 38 tahun itu mempunyai 30 kedai namun hanya 16 daripadanya yang beroperasi.

Mohd Fauzi berkata, kebakaran di kedai makan itu membabitkan keseluruhan sebanyak 80 peratus terutama pada bahagian dapur.

“Kedai makan ini diusahakan sejak 20 tahun lalu dan beroperasi pada jam 10 pagi setiap hari.

“Saya tidak mengesyaki ia adalah perbuatan khianat malah reda dengan kejadian yang berlaku,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fadzil Mohamad ketika ditemui berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.30 pagi.

Siasatan awal mendapati kemungkinan kejadian itu berlaku disebabkan litar pintas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo ketika hadir di lokasi berkata, pihaknya akan meneliti bantuan yang sesuai kepada semua pemilik kedai makan yang terbabit.

“Kita juga berharap kerja bagi membangunkan semula astaka ini dijalankan dengan segera dan mungkin dapat dilakukan dengan lebih rapi,” katanya.

Loading...
Terkini