Oleh: Selwam Arjunan
SUNGAI PETANI: Sebuah kedai runcit yang enggan menjual minyak masak bersubsidi dengan tujuan menyorok bahan itu, antara yang diambil tindakan dalam Operasi Kita Gempur oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaluddin berkata, operasi dilakukan semalam dan hari ini di Alor Setar dan Kubang Pasu bersama Jabatan Imigresen bagi melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan yang sebilangan daripada diuruskan oleh warga asing.
“Dalam operasi yang dijalankan ini, sebanyak 6 kes kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga kerana gagal mematuhi penandaan harga dengan nilai kompaun berjumlah RM600.00.
“Selain itu, 3 kes telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap sebuah restoran yang menggunakan LPG bersubsidi untuk aktiviti perniagaan tanpa permit untuk menyimpan barang kawalan berkenaan.
“Manakala sebuah kedai runcit telah diambil tindakan bagi kesalahan enggan menjual barang kawalan iaitu minyak masak apabila tindakan uji beli dilakukan.
“Sejumlah 6 unit LPG yang berisi, 3 unit tong LPG kosong dan 44 kg minyak masak polibeg bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM1,064.00 telah disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, Operasi Kita Gempur merupakan langkah strategik bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.