Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin
PETALING JAYA: Tular di laman sosial sebuah kedai pakaian di Seksyen 7, Shah Alam diserbu orang ramai selepas menerima maklumat pakaian di kedai itu dijual pada harga RM1.
Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, aduan mengenai insiden berkenaan diterima jam 10.30 pagi semalam.
“Pihak polis telah menerima aduan sekitar jam 10.30 pagi, di mana telah berlaku kekecohan semasa permulaan operasi di kedai pakaian berkenaan.
“Kedai berkenaan membuat promosi di mana 100 orang pertama dapat membeli pakaian dengan harga RM1, manakala 50 orang berikutnya akan mendapat baju kurta percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, dianggarkan lebih 500 orang membanjiri kedai itu untuk mendapatkan harga promosi yang ditawarkan.
Kebanjiran orang ramai menyebabkan berlakunya kejadian tolak-menolak dan kekecohan di premis terbabit.
Mohd Iqbal berkata, pihak pengurusan kedai akhirnya bersetuju untuk menghentikan operasi atas faktor keselamatan.
“Sekitar jam 11.45, atas faktor keselamatan, pihak pengurusan kedai bersetuju menghentikan operasi kedai.
“Ini kerana (kedai terbabit) tidak dapat mengawal bilangan pengunjung yang hadir,” katanya.
Bagaimanapun, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis oleh mana-mana pihak bersabit kejadian dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana promosi lebih-lebih lagi pada musim perayaan.
Tegasnya, peniaga perlu sentiasa peka dan tidak membuat promosi mengelirukan orang ramai bagi mengelakkan kejadian sama berulang.