comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedai pakaian diserbu, jual pakaian jenama terkenal disyaki tiruan di TikTok

Pasukan penguatkuasa KPDN Kelantan bersama wakil pemilik hak cipta membuat serbuan di kedai pakaian di Pasir Pekan, Wakaf Bharu, yang menjual pakaian jenama terkenal disyaki tiruan. – FOTO: NSTP/Ihsan KPDN

TUMPAT: Aktif menjual pakaian jenama terkenal disyaki tiruan menerusi media sosial memakan diri apabila seorang lelaki dikenakan tindakan.

Susulan itu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama wakil pemilik hak cipta membuat serbuan di sebuah kedai pakaian di Pasir Pekan, Wakaf Bharu, di sini.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, serbuan dibuat jam 10 pagi semalam hasil aduan yang diterima daripada pemilik cap dagang mengenai aktiviti penjualan jaket tiruan secara atas talian secara berleluasa.

“Operasi itu berjaya membongkar aktiviti penjualan barangan tiruan membabitkan penggunaan cap dagang berdaftar tanpa kebenaran.

“Sebanyak 131 helai jaket pelbagai saiz yang disyaki dipakaikan cap dagangan jenama terkenal disita dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM4,585,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Susulan itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang juga pemilik premis, disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 atas kesalahan memiliki dan menggunakan cap dagangan berdaftar untuk tujuan perdagangan tanpa kebenaran.

Azman berkata, mengikut soal siasat yang dilakukan, lelaki itu mengaku menjual pakaian jenama terkenal disyaki tiruan itu sejak Februari lalu dan aktif di TikTok termasuk menjual secara siaran langsung (live).

“KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada peniaga lain agar tidak terbabit dalam kegiatan penjualan barangan tiruan yang melanggar undang-undang.

“Kami akan terus menjalankan pemantauan serta tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah akan diambil malah kegagalan mematuhi undang-undang boleh membawa kepada hukuman denda yang berat termasuk penjara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini