Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Semua premis makanan dan minuman (F&B) di seluruh negara wajib mendapat sijil bertaraf A untuk kebersihan tandas menjelang 2026.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, premis yang gagal mendapat penarafan itu akan berisiko tidak dapat memperbaharui lesen perniagaan.
“Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dah buat dasar baharu dan semalam (mesyuarat Kabinet) kita buat keputusan selaras dengan prinsip tandas awam bertaraf ‘BMW’ iaitu Bersih, Menawan, Wangi.
“Mulai tahun depan, semua F&B dan cawangan di peringkat kawasan bandar raya wajib mendapat sijil bertaraf A untuk kebersihan tandas termasuk di restoren hotel, warung kopi, kedai mamak dan lain-lain,” katanya yang ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Muhibbah sempena Tahun Baharu Cina anjuran KPKT di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Kor Ming berkata, dasar itu akan berkuat kuasa di semua F&B peringkat Majlis Perbandaran pada 2025, manakala di kawasan Majlis Daerah pada 2026.
Justeru, dalam tempoh fasa tiga tahun tersebut, beliau menjangkakan 18,000 tandas akan bersih, menawan, dan wangi selaras dengan dasar KPKT yang bakal meningkatkan imej negara selain menjaga kesejahteraan rakyat.
“Kita akan ada garis panduan yang jelas berhubung perkara yang perlu dibuat. Kita tak mahu lagi tandas yang berbau busuk menyebabkan hati kurang senang. Kita akan adakan sesi libat urus dengan pemegang taruh dan persatuan penjaja,” katanya.