comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kedai emas disamun lelaki bersenjatakan pistol

SHAH ALAM: Seorang lelaki bersenjatakan pistol hanya mengambil masa kurang satu minit untuk melarikan barang kemas bernilai RM27,000 dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Pelabuhan Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, suspek bertindak memegang pengawal keselamatan kedai itu sebelum membawanya masuk.

Katanya, suspek kemudian melepaskan dua das tembakan ke lantai sebelum orang awam segera melarikan diri.

“Suspek kemudian mengarahkan penjaga premis mengeluarkan barang kemas, bagaimanapun ia tidak dituruti. Suspek kemudian mengambil sendiri dua gelang dan satu rantai emas di atas meja jualan yang dianggar bernilai RM27,000.

“Suspek juga mengambil dua beg tangan milik pelanggan premis itu sebelum melarikan diri menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 warna biru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk hadir ke balai polis berhampiran atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 untuk bantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini